Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang
mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali
dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam
salah satu lagunya, 'dulu lain
sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'.
Setiap pasangan yang
berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat
selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad
al-Mutawwa', bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara
sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf
atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau
mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting
demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan
berumahtangga.
Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum
berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan
sebagainya.
Percintaan sebelum
berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan
dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan
keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.
Alam percintaan tidak
mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan
yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.
Setelah berkahwin barulah
terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini
disembunyikan.
Untuk mengenali calon
pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa'
mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.
Soalan-soalan
ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang
tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan
pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan
terpencil.
Jangan
cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan
relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.
10 soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan
hidupnya?
Setiap orang mempunyai
wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan
hidup anda.
Sekiranya
anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan
dalam rumahtangga akan berkurangan.
2.
Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur
atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.
Sekiranya kedua-dua pihak
mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan
hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi
memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina
tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat
yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap
pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak
disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan
kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap
pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya
mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai
pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
Sekiranya satu pihak belum
bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau
ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi
tegang.
5. Adakah dia mempunyai
masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik
atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.
Mengetahui adanya penyakit
atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
Menyembunyikan penyakit
yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu
penipuan.
6.
Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka
bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di
merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai
berkawan dan sukar didampingi.
Orang macam mana yang anda
cari?
7. Bagaimana hubungannya
dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar
aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan
hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
Oleh itu bakal tunangan
harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain.
Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian
seseorang.
8. Apakah kegemarannya
dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara
seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta
cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam
mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan
kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong
dan mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar
untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup
dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.
Tetapi orang yang hidup
dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati
namanya akan dikenang zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya
sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga
mereka?
Setengah orang menganggap
rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang
boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.
Hal ini sangat penting
diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.
Apakah pandangan bakal
pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam
golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada
kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat
jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda
untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.
Pastikan anda mengenali
jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.
Semoga ade manfaatnya.:)
No comments:
Post a Comment